Thursday 27 October 2016

Rahmah

Lama dah tak menulis. Rasa kaku.

Entahlah, setiap kali bila aku rasa Allah bagi aku peluang untuk perbaiki diri, aku rasa disayangi sangat. Dengan dosa yang menggunung serta perangai liat dan pemalas nak berusaha jadi baik ni, Dia tetap bagi aku peluang untuk kembali ke jalan yang sepatutnya. Banyak sangat waktunya aku sengaja menjadi budak nakal dan pilih untuk memalingkan arah dariNya. Untuk apa? Motif? Alibi? Takde. Kalau aku nak bagi sebab buat dosa ni satu je, short-sighted. Dia nak rasa keseronokan yang sementara tanpa fikir nikmat abadi yang kekal selamanya kelak nanti. Manusia. Huh. Konon beriman pada hari Kiamat tapi mungkin tahu dan percaya tapi tak berapa yakin pun. Keyakinan kita yang jitu itu sepatutnya akan membuatkan kita sentiasa bersedia untuk segala persiapan menuju hari Pembalasan kelak. Huh. Itulah aku.


Teringat berjumpa dengan seorang insan yang merubah cara pandangan hidup aku. Dah hampir 3 bulan berlalu. Seorang lelaki, muda 3 tahun. Mula berjumpa tahun lepas semasa tolong student collect data kat Masjid di Kajang. Jumpa lagi pada tahun ini selama sebulan penuh untuk bersama-sama rakan lain buat kerja collect data di Kelantan.

What makes he was so special?

Dalam keadaan dunia aku sehitam-hitamnya yang aku cuba sorok dan simpan sebaiknya. Dunia yang membuatkan aku putus asa untuk berusaha. Hanya sebab masih terus bernafas, aku hanya mahu terus menjalani sisa hidup yang ala kadar. Asal hidup. Gitu-gitu je.

Masa ada beberapa tempoh kenal dengan dia, taktahu apa perasaan yang menggelikan bila nampak dia. Barangkali aku sudah dilamun cinta, bisik aku pada waktu itu. Tapi dalam pada masa yang sama, bermula kembali fasa aku terasa ingin berlari ke arah Tuhan sesungguh-sungguhnya. Apa kaitannya?

Dia manusia sempurna di mata aku, dengan didikan mak ayah, yang punya ilmu agama yang baik, yang langsung tidak berlagak dan merasai diri hebat, yang memahami bahasa badan yang kini manusia pura-pura tak faham, yang menghormati orang tua, yang akan kehadapan apabila nampak orang susah, yang sentiasa berusaha menggembirakan orang lain, yang sentiasa senyum dan berusaha, yang rajin berjemaah tak kira waktu, yang menepati janji dan yang akhirnya membuatkan jiwa keperempuanan jatuh sejatuhnya. Aku kira aku telah menjadi buta hanya kerana perkenalan singkat tapi padat ini membuatkan aku jatuh kagum padanya. Cinta? Belum sampai ke tahap itu. Kekaguman aku padanya membuatkan aku kembali merenungi diri aku. Aneh, tidak sedikit dia cuba merubah aku tapi telah berjaya merubah pandangan hidup aku  pada ketika itu.

Tahajud, menangis dan doa penuh harap telah lama aku tinggalkan. Hati aku lama sudah mati. Cuma belum dikebumikan. Aneh, tanah yang kering itu akhirnya mampu hidup setelah Tuhan siramkan dengan air hujan. Begitulah hati aku ketika itu. Tempoh itu telah aku gunakan untuk merenungi dan  membuat perbandingan antara aku dengan dia. Jauh. Jauh sekali. Tak sama padan. Tapi aku senyum sendiri, kalau dia boleh jadi baik kenapa aku takboleh?

MUSTAHIL.

Mustahil aku boleh jadi baik macam dia. Mustahil dia akan pandang aku. Tapi saat mustahil itulah munculnya pengharapan. Sebagaimana mustahilnya Nabi Zakaria merasakan isterinya akan mengandung pada tika umurnya yang sudah lanjut. Sehingga telah habis mustahil, umur isterinya mencapai tamat haid waktu itu Allah kata Kunfayakun, Allah kurniakan Nabi Yahya. Aneh sangat perasan itu. Lama sudah jiwa aku mati dan akhirnya kembali hidup. Jujur, aku rindu perasaan itu! Saat kau rasa paling akrab dengan Tuhan seolahnya setiap masa dan detik kau berkomunikasi secara berdepan tanpa hijab. Itulah nikmat yang pernah aku rasakan. Saat aku sedih kerana merasai hinanya diri, aku terasa terpujuk saat aku berdoa dengan penuh pengharapan dalam keyakinan Tuhan akan menjaga urusan ini sebaiknya. Dan waktu itu benar ayat-ayat suci al-Quran yang sekian lama aku sengaja tinggalkan itu akhinya menjadi penenang diri kala itu.

Dia hanya asbab tapi yang menyusun semuanya ini adalah Allah jua. Kerana itu aku merasakan turunnya rahmah dan aku mampu merasainya. Malam yang pekat dan gelap itu akhirnya dihapuskan dengan cahaya matahari subuh yang memecah. Seolahnya ianya memberi satu pengharapan baru.

"Dan Kami jadikan malam dan siang itu dua tanda (yang membuktikan kekuasaan kami), maka Kami hapuskan tanda malam itu (sehingga menjadi gelap-gelita), dan Kami jadikan tanda siang itu terang-benderang supaya kamu mudah mencari rezeki dari limpah kurnia Tuhan kamu, dan supaya kamu mengetahui bilangan tahun dan hitungan hisab (bulan dan hari); dan (ingatlah) tiap-tiap sesuatu (yang kamu perlukan untuk dunia dan agama kamu), Kami telah menerangkannya satu persatu (dalam Al-Quran) dengan sejelas-jelasnya."
Dan kerana itu aku merasai kehadiran dirinya adalah seumpama rahmah. Tuhan izinkan dia singgah dalam hidup aku hanya sekejap waktu walaupun aku berdoa dan berharap dia dapat terus kekal dalam hidup aku tapi Allah lebih tahu hikmah sedang aku masih mencari sebabnya. Apapun, aku tetap bersyukur dipertemukan dan diberi kesempatan untuk merasa tempoh waktu yang paling bermakna dalam hidup aku.



Dah 3 bulan kan, kehidupan kembali asal. Baru sedar, pertemuan dengan dia seolahnya sebuah mimpi yang menggugah jiwa. Yang memberi semangat menghadapi dunia realiti. Yang memberi kekuatan untuk aku melawan segala anasir-anasir jahat dan terus berusaha untuk terus menjadi hamba Allah yang dicintaiNya. Dalam masa 3 bulan ini, aku masih tetap diuji dan masih dikalahkan. Tetapi ada suatu bisikan yang membuatkan aku yakin, episod duka ini sudah hampir ke penghujungnya. Aku bakal temui cahayaNya dan akhirnya mengembalikan aku menjadi seorang mujahidah yang menyeru manusia kembali kepada hakNya.

Aku yakin sepenuhnya pada susunan cerita yang Allah tetapkan. Ingatkan aku, betapa bertuahnya aku merasai rahmah ini. Moga aku tidak lupa dan terus berusaha menjadi lebih baik.



No comments: